SETIAP orang dewasa ada keinginan dan nafsu. Apabila nafsu syahwat
mula membuak, itu antara tanda sampai masanya untuk seseorang itu
berkahwin. Keadaan itu normal bagi seseorang individu dan ia sebahagian
putaran kehidupan.
Bagaimanapun, cuba bayangkan jika seseorang
itu, terutama lelaki, dilahirkan sebagai seorang yang ‘istimewa’
seperti kekurangan dalam aspek intelektualnya. Lalu, dia diaturkan
berkahwin oleh keluarganya.
Mungkin ramai akan tertanya-tanya mengenai keinginan syahwatnya
dan timbul persoalan adakah dia mampu memberi nafkah batin kepada
isteri secukupnya. Ini kerana, daripada segi pemikiran dia tidak dapat
bertindak seperti orang normal.
Individu seperti itu juga
mungkin tidak dapat membawa dirinya sebagai suami dalam erti kata
sebenarnya, termasuk keperluan batin isteri.
Sebelum berkahwin,
insan istimewa ini juga mungkin tidak pernah terfikir mengenai hubungan
seks antara suami isteri dan kepentingannya. Ia mungkin berlanjutan
selepas perkahwinan kerana tidak tahu mengenai tanggungjawabnya sebagai
suami.
Kemungkinan suami tidak tahu melakukan hubungan seksual
atau mengalami mati pucuk prima boleh menyebabkan si isteri kecewa dan
perkahwinan itu berkemungkinan berakhir dengan perceraian.
Ini kerana sejak berkahwin suami tidak pernah melakukan persetubuhan, mungkin hanya sentuhan.
Bagaimanapun, insan istimewa itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya
kerana mungkin sepanjang hidupnya dia tidak pernah mencapai ereksi
secara spontan atau tidak pernah mengenali apa itu ereksi.
Dia
mungkin hanya tahu zakarnya kadangkala membesar, terutama waktu bangun
tidur. Mungkin keluarganya dapat melihat ereksinya ketika dia nyenyak
tidur dan menganggap perkara itu petanda dia sihat.
Namun,
ereksi itu ialah ‘ereksi refleksi’ ketika lelaki tidur nyenyak yang
menandakan fungsi zakar sihat. Untuk menggunakan zakar ketika
bersetubuh, minda perlu terangsang dan mesej perlu sampai ke zakar
supaya salur darah otot zakar mengembang.
Jadi macam mana
hendak melakukan hubungan seks dengan pasangan, sedangkan dia tidak
pernah mencapai ereksi. Jika ini berterusan dan tiada tindakan diambil,
lambat laun hubungan suami isteri menjadi hambar.
Saya pernah
memeriksa lelaki yang lembap mentalnya dan berkahwin atas pilihan
keluarganya, tetapi pandai memainkan tanggungjawab sebagai suami
penyayang.
Selepas berkahwin dua tahun, si isteri mengadu
kepada ibu mentua yang suaminya tidak pernah melakukan persetubuhan,
hanya pegang dan pelukan intim. Perkara itu dimaklumkan kepada bapa
suami yang akhirnya membuat temujanji dengan saya kerana mengesyaki
anaknya mati pucuk.
Mengikut isterinya, suaminya tidak pernah
mencapai ereksi sewaktu bersentuhan badan, tetapi ketika tidur ereksi
spontan kerap berlaku. Bagaimanapun, setiap kali suami tersedar ereksi
terputus begitu saja.
Pemeriksaan awal menunjukkan dia gemar
perempuan dan kasih kepada isterinya. Dia diberi tunjuk ajar cara
menggunakan ereksi untuk bersetubuh. Akhirnya dia berjaya mengatasi
masalah itu dan kini memperoleh anak.
Kesimpulannya, mungkin
mereka sebenarnya mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai suami kepada
isteri, tetapi perlu diberikan bimbingan.
21st Dec 2009