RAMAI lelaki menghadapi dilema apabila isteri mereka hamil kerana
‘berpuasa’ daripada melakukan hubungan seksual selama sembilan bulan.
Apabila isteri dalam pantang pula, tempoh ‘berpuasa’ menjadi lebih lama.
Mungkin bagi sesetengah orang keadaan itu menjadi bahan lawak, tetapi
ia memang hakikat. Ini kerana memang ada pasangan berhenti mengadakan
hubungan seksual selepas pasangan wanitanya disahkan hamil dengan
alasan bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadap kandungan.
Perkara itu sering berlaku pada pasangan yang berdepan
pengalaman pertama kehamilan akibat mendengar terlalu banyak nasihat
daripada pihak tidak bertauliah yang memberi nasihat di luar konteks
saintifik.
Secara saintifik, tiada sebab kenapa hubungan
seksual tidak boleh dilakukan jika kehamilan wanita itu berjalan
lancar, kecuali berlaku insiden tertentu dan anda dinasihatkan doktor
supaya berhenti kerana mungkin membahayakan kandungan.
Tidak
dinafikan, ada situasi tertentu seperti wanita mendapati pengeluaran
darah atau tanda darah dari farajnya atau wanita itu mengalami
kekejangan selepas selesai bersetubuh.
Jika kedua-dua masalah
itu berlaku, anda dan pasangan perlu merujuk doktor kerana jika
dibiarkan, ia berkemungkinan mendatangkan bahaya ke atas kandungan,
termasuk keguguran janin.
Bagaimanapun, jika pemeriksaan rutin
ditetapkan doktor menunjukkan tiada masalah pada kandungan selain tiada
kejanggalan atau masalah apabila melakukan hubungan seksual, aktiviti
itu tidak perlu dihentikan.
Sehubungan itu, tiada alasan untuk anda bimbang aktiviti seksual akan membahayakan kandungan isteri.
Namun perlu diingatkan juga, mengadakan hubungan seksual ketika
kehamilan akan mendatangkan sedikit ketidakselesaan kepada pasangan
lelaki atau wanita dan perbincangan perlu diadakan untuk memastikan apa
yang dihajati tercapai.
Yang penting ialah hubungan seks atau
naluri syahwat adalah lumrah semula jadi bagi manusia. Justeru,
dibimbangi fakta salah akan menimbulkan masalah lain, terutama
kegersangan kepada pasangan lelaki atau wanita, sedangkan mereka tidak
sepatutnya berdepan masalah itu.
21st Dec 2009