SAYA berkahwin hampir dua tahun. Sepanjang perkahwinan, saya berasa
sangat tertekan kerana suami lebih gemar melakukan onani daripada
melakukan hubungan seks dengan saya.
Sedih bila suami berbuat
demikian, sedangkan saya dibiarkan kesepian dan kami jarang
berkomunikasi mengenainya kerana suami saya pendiam.
Saya berharap doktor boleh memberi sedikit nasihat atau panduan untuk mengatasi masalah ini.
ILA
Sungai Buloh, Selangor
Jawapan Dr. Ismail Thamby
Anda
boleh rujuk perkara ini kepada pegawai agama untuk membincangkannya
atau bagi mendapatkan sesi kaunseling kerana jika anda atau suami terus
tidak membincangkannya, ia boleh mendatangkan kesan.
Ketagihan
kepada amalan onani hanya dapat diselesaikan oleh yang melakukannya dan
pasangan anda perlu sedar perbuatan itu tidak normal memandangkan dia
boleh berseronok dengan isteri.
Kelakuannya membuatkan dirinya
bukan menjadi lelaki sejati dan jauh lagi sebagai suami yang
bertanggungjawab. Lagi bagus jika dia dapat hentikan perbuatannya
kerana dia mensia-siakan hidupnya dan pasangan.
Jika dia ada
masalah untuk bersetubuh dengan pasangannya, dia perlu selesaikan
dengan berjumpa doktor dan mendapat rawatan sewajar dan bukan sekadar
melepaskan perasaannya dengan onani.
Saya pernah mengendalikan
kes seperti ini iaitu suami gemar dengan onani dan tidak hiraukan
isterinya. Dia seronok tengok gambar lucah dan merangsang anunya dan
jarang sekali melakukan seks dengan pasangan.
Semua itu kerana
kegemaran menonton cerita dan melayari laman web lucah hingga
membuatkannya lupa mengenai tanggungjawabnya sebagai suami. Ini
tanggung jawab besar dan dia tidak sedar dia mensia-siakan kehidupan
isteri.
Atas desakan isteri, dia setuju berjumpa saya dan kini
dia sedar kesalahannya. Selagi lelaki itu tidak sedar apa dilakukannya
adalah kesalahan paling hina, selagi itu dia kekal dengan perbuatannya
yang hina itu.
Saya harap puan beri maklumat ini kepadanya dan
minta dia bertaubat serta berjumpa pegawai agama atau mendapat
bimbingan untuk menolak onani dan apa-apa amalan songsang.
22nd Dec 2009