MEMILIKI anak memang menjadi impian bagi setiap pasangan yang
berkahwin kerana anak kerap dikatakan menjadi penghubung kasih sayang
antara si ibu dan bapa.
Oleh itu, tentunya hubungan kelamin
menjadi langkah pertama supaya wanita mampu hamil sebelum dapat
melahirkan anak selepas matangnya tempoh kehamilan.
Tindakan ini memang fitrah manusia, namun jangan terkejut
kerana ada kes terpencil di mana wanita yang jahil mengenai seks tetap
hamil walaupun zakar belum menembusi faraj. Ini kisah benar kerana saya
pernah mengendalikannya.
Apabila satu pasangan baru berkahwin
berjumpa saya kerana si isteri lewat datang haid, ujian kehamilan
dilakukan ke atas isteri dan keputusannya dia didapati positif
mengandung, walaupun mereka tidak pernah melakukan hubungan penetratif.
Ini berlaku kerana wanita itu takut untuk melakukan hubungan penetratif. Jadi, mereka keliru bagaimana isteri itu boleh hamil.
Bagaimanapun, selepas mereka menjelaskan cara hubungan intim dilakukan,
baru saya faham dan dapat menjelaskan keadaan yang menyebabkan wanita
itu mengandung.
Apa yang sebenarnya berlaku ialah setiap kali
suami mengakhiri adegan sentuhan intim terhadap isterinya, dia
melepaskan air maninya di kelangkang isteri dan air mani itu dibiarkan
meleleh.
Ini mengakibatkan isteri mengandung apabila lelehan
air mani menuju ke pembukaan faraj dan bercampur dengan air mazi isteri
dan dengan kuasa Tuhan, kehamilan berlaku. Walhal wanita itu masih dara!
Yang menjadi masalah ialah, ketika hamil, hubungan kelamin mungkin
terhenti seketika dan dilakukan kembali selepas isteri bersalin dan
tamat waktu berpantang.
Jangkaan pasangan itu ialah selepas
bersalin secara normal, faraj menjadi sedikit renggang dan mudah
dilegakan untuk membolehkan hubungan penetratif dilakukan.
Bagaimanapun, jangkaan itu nyata meleset. Wanita itu masih takut untuk
melakukan hubungan seksual, sekali gus menyebabkan masalah sama
berulang apabila wanita itu tidak dapat menyesuaikan dirinya untuk
bersetubuh.
Hubungan mereka akan menjadi hambar dan boleh
menggugat rumah tangga kerana suami mungkin meminta perpisahan apabila
masih tidak dapat bersama isterinya, walaupun selepas bersalin. Tanpa
bimbingan dan rawatan doktor, perkara ini tidak akan dapat diatasi.
Berbalik kepada pasangan yang mendapat rawatan dengan saya, wanita
terbabit selamat melahirkan anak lelaki dan setahu saya, wanita itu
kemudian dapat melakukan hubungan seksual penetratif dengan suaminya
selepas mendapat bimbingan dan tunjuk ajar cara mengawal dan membuka
faraj untuk memudahkan kemasukan zakar.
22nd Dec 2009