SAYA suami berusia 36 tahun yang mempunyai dua anak. Kehidupan
seksual saya sebelum ini tiada masalah dan isteri tidak pernah
menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada saya.
Namun masalah
baru timbul dalam hubungan suami isteri kami sejak kebelakangan ini. Ia
berpunca daripada saya kerana sering mengelak melakukan hubungan seks
dengan isteri.
Ini kerana setiap kali bersama isteri, saya mengalami sakit
kepala yang teramat sangat, lebih-lebih lagi ketika mencapai klimaks,
malah ia berlanjutan antara satu hingga lima jam sebelum beransur-ansur.
Secara tak langsung ia menjejaskan prestasi saya di tempat kerja kerana
rasa mengantuk disebabkan tidak cukup tidur. Saya khuatir perkara ini
menjejaskan keharmonian rumah tangga saya sekarang.
Kadangkala tak dinafikan naluri lelaki saya memuncak, tetapi bila teringatkan masalah itu saya cuba mengelak melakukannya.
WADI
Kota Bharu, Kelantan
Jawapan Dr. Ismail Thamby
Biasanya kita dengar wanita mengelak persetubuhan kerana ‘sakit kepala’, tapi kali ini lelaki pula alami masalah itu.
Jadi sebelum si isteri naik angin kerana suami tak mahu melakukan
hubungan seks kerana takut sakit kepala, dia perlu tahu yang perkara
ini, walaupun jarang berlaku kepada lelaki, tetap boleh berlaku dan
perlu dirujuk kepada doktor sebelum lebih mudarat.
Pening
kepala ketika dalam klimaks ada kaitan dengan tekanan yang berlaku
kepada badan itu akibat usaha dan daya badan ketika individu itu
bersetubuh.
Mungkin melegakan tekanan badan ketika bersetubuh
dapat mengurangkan berlaku pening kepala atau sekurang-kurangnya dapat
meringankan kesakitan pening kepala ketika klimaks.
Kajian
mendapati proses sebelum klimaks yang berlaku ketika lelaki bersetubuh
seperti peningkatan tekanan darah, peningkatan pernafasan dan degupan
jantung mengakibatkan urat saraf menghasilkan kimia yang boleh
menyebabkan saluran darah di otak berjalan lancar ketika klimaks.
Ini sedikit sebanyak memberi perasaan pening kepala yang biasa dikenali
sebagai ‘klimaks cephalalgia’ itu. Untuk permulaan, disyorkan lelaki
itu amalkan gaya hidup sihat, henti merokok dan lakukan senaman berkala.
Dalam keadaan badan sihat dan tegap, daya dan usaha badan berlaku dengan senang dan tenang.
Ketika melakukan seks, digalak melakukannya dengan pergerakan perlahan
dan mencapai klimaks yang sederhana serta boleh makan ubat penahan
sakit seperti panadol sejam sebelum bersetubuh dan jika ini tidak
berkesan, dia boleh jumpa doktor untuk rawatan lebih berkesan.
Mana tahu jika anda dapat bersabar dan teruskan menghayati nikmat seks
yang Tuhan beri kepada anda, fenomena ini akan hilang secara tiba tiba.
Bagaimanapun, dapatkan pemeriksaan doktor jika tips yang diberitahu itu kurang berkesan.
22nd Dec 2009